KUALA LUMPUR: Suspek utama disyaki
membakar Nurul Firzanah Mat Zaki, 16, yang kini koma sejak kejadian 13
Ogos lalu akhirnya ditahan awal pagi semalam ketika dalam keadaan
‘lalok’ (khayal) akibat pengaruh dadah bersama lima rakan, empat
daripadanya wanita.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu yang
juga kekasih mangsa ditahan kira-kira jam 3.30 pagi bersama lima rakan
berusia 18 hingga 20 tahun di dalam sebuah rumah panjang di Setapak
Jaya, di sini, yang jaraknya hanya kira-kira lima kilometer dari lokasi
Nurul Firzanah dibakar. Sumber polis berkata, serbuan diketuai Pegawai
Siasatan Kanan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (Zon
Setapak), Asisten Superintendan Shan Gopal bersama sepasukan anggota
hasil risikan dan maklumat orang awam. Menurutnya, siasatan polis
mendapati sejak kejadian 10 hari lalu suspek tidak keluar dari rumah itu
yang menjadi tempat persembunyiannya bagi mengelak ditahan polis
selepas gambarnya disebarkan di media.
“Sebelum serbuan dilakukan, polis
membuat pemantauan di rumah berkenaan selama hampir lima jam bermula jam
11.30 malam dan serbuan dilakukan menerusi pintu belakang dan depan
secara serentak.
“Suspek cuba melarikan diri, namun dapat
dicekup dan ketika itu dia dan rakan-rakannya didapati berada di bawah
pengaruh dadah, malah polis turut menemui peralatan menghisap dadah di
rumah berkenaan,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah yang
dihubungi semalam mengesahkan penahanan suspek utama itu serta lima
rakannya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah
berkenaan polis turut menemui beberapa bahan bukti penting, antaranya
pakaian dengan kesan minyak petrol yang dipercayai digunakan suspek
semasa membakar mangsa. “Polis turut merampas telefon bimbit suspek
selepas mendapati di dalamnya terdapat beberapa mesej berbaur ugutan
antara suspek dan mangsa,” katanya.
Ku berkata, selain suspek, lima individu
yang ditahan bersamanya turut didapati positif dadah dan semua mereka
kini direman lima hari bermula semalam untuk siasatan yang dilakukan
mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Sementara itu, bapa Nurul Firzanah, Mat Zaki Mat Hussin, 45, yang
dimaklumkan mengenai tangkapan suspek mengucapkan rasa syukur dan
tahniah di atas kejayaan polis.
“Alhamdlillah, solat hajat dan doa kami
sekeluarga serta orang ramai dimakbulkan Allah. Kami berharap dia
(suspek) akan menerima pembalasan setimpal dengan apa yang dilakukannya
terhadap anak saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi
13 Ogos lalu, Nurul Firzanah yang keluar bersama suspek disimbah petrol
sebelum dibakar di kawasan semak berhampiran Flat Wangsa Sari, Seksyen
1, Wangsa Maju, hingga menyebabkan dia koma manakala 25 peratus tubuhnya
terutama bahagian muka hingga paras pinggangnya terbakar.
Harian Metro Selasa lalu melaporkan
remaja itu berkemungkinan akan koma untuk tempoh antara tiga hingga enam
bulan kerana Mat Zaki diberitahu doktor terpaksa memberinya ubat pelali
supaya dia terus tidak sedarkan diri.
Menurutnya, rawatan itu adalah terbaik
untuk mangsa kerana Nurul Firzanah yang kini dirawat di Unit Rawatan
Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) akan bertambah teruk dan sakit
jika dia sedar daripada koma dalam masa terdekat.
PS: Sepalui2 orang ni melompat, akhirnya tergolek ke tanah juga.. PADAN MUKA!