Wednesday 9 March 2022

PATUNG BARBIE PERTAMA DI DUNIA

Hari ini 63 tahun yang lalu, patung Barbie yang pertama dipersembahkan kepada khalayak.

Ia bermula dengan Ruth Handler, yang mengasaskan Mattel, Inc. bersama suaminya pada 1945, melihat anak perempuannya meninggalkan patung bayinya apabila sudah meningkat usia & mula bermain dengan patung kertas wanita dewasa. Handler menyedari bahawa ada pasaran khusus untuk kanak-kanak perempuan yang berangan menjadi dewasa. Lalu diciptakan sejenis patung wanita setinggi 11 inci yang menjadi patung permainan pertama berciri dewasa yang dihasilkan secara besar-besaran di A.S. Rupa Barbie diolah daripada Bild Lilli, patung Jerman yang dicipta berdasarkan watak kartun 'strip' dalam akhbar Jerman Barat ‘Bild Zeitung’. Ia dihasilkan sebagai cenderamata untuk lelaki dewasa yang dijual di kedai tembakau. Mattel membeli hak terhadap patung itu, mengubah suai rupa & bahan pembuatannya lalu Handler menamakannya Barbie, sempena nama anaknya, Barbara. Pada 9 Mac 1959, ia dipamerkan buat julung kalinya di Pameran Alat Permainan Amerika di New York. Mattel menggunakan kedudukannya sebagai penaja rancangan TV ‘Mickey Mouse Club’ sejak 1955 untuk memasarkan Barbie, yang menjadi antara syarikat alat permainan pertama yang menyiarkan iklan untuk kanak-kanak. Pada 1961, Mattel memperkenalkan ‘teman lelaki’ Barbie, Ken, yang dinamakan Handler sempena anak lelakinya. Kemudian hadir ‘kawan baik’ Barbie, Midge pada 1963 & ‘adik’ Barbie, Skipper, muncul tahun berikutnya. Barbie turut mengundang kontroversi. Bentuk badannya yang ramping dilihat memberi contoh yang tidak realisitik, memupuk imej tubuh yang negatif serta menggalakkan sifat materialistik dalam kanak-kanak perempuan khususnya. Begitupun di sisi positif, Barbie dilihat sebagai menyediakan alternatif kepada peranan jantina tradisional di era 50-an ketika ia mula diperkenalkan dengan kepelbagaian kerjaya yang dipamerkan dalam bentuk pakaian & aksesorinya. Sejak 1959, dianggarkan lebih 1 bilion patung Barbie telah terjual di seluruh dunia. *Gambar patung Barbie edisi pertama yang dihasilkan pada 1959. Sumber: History, Britannica
Share:

0 comments:

Recommended Webhosting & Domain Services

HUBUNGI

Sila hubungi saya di:
email : admin@pullbackforextrading.com

ENJIN CARIAN GOOGLE