Monday, 9 May 2022

RESEPI AYAM MASAK MERAH WANGI


Bahan bahan:
Paha ayam
3 sudu besar cili kisar(cili boh) atau cili kering- ikut suka pedas
1 sudu kecil garam
3 sudu besar atau separuh batang gula melaka/gula putih
2 sudu besar sos cili Maggi atau secukupnya
2 sudu besar sos tomato atau secukupnya
1/2 biji bawang besar Holland - hiris bentuk ring
Daun sup/daun bawang - tabur
Daun kari
Rempah 4 sekawan
Air asam jawa(jika tidak gunakan tomato puri)
Serai 2 atau 1 tangkai jika besar
Daun pandan
tomato untuk tumis(optional)

note: boleh gunakan tomato puri untuk gantikan sos tomato

Bahan kisar:
3 1/2 biji bawang merah besar
1 1/2 biji bawang holland
4 ulas bawang putih
1 inci Halia
1 inci lengkuas
Cili kering yang belum kisar sekiranya anda tidak mahu menggunakan cili boh

note: gunakan lebih banyak bawang bombay berbanding bawang holland untuk kisar.





Cara cara:
Ayam dilumur dengan garam dan serbuk kunyit. Kemudian digoreng hingga separuh masak. Jangan terlalu garing. Angkat dan ketepikan. 


Buat kuah:
Dalam kuali lain, panaskan minyak dan tumis rempah 4 sekawan, serai, daun kari dan daun pandan.

Masukkan bahan kisar dan tumis lagi dengan api perlahan sehingga masak.




Masukkan sos tomato dan sos cili atau, masukkan tomato puri(jika menggantikan sos tomato). Kacau rata. Masak hingga pecah minyak. Masukkan sedikit air. Kacau lagi hingga pekat. Last sekali, masukkan garam dan gula melaka secukup rasa. 




Pada waktu ini aroma dari bahan rempah, bahan kisar dan daun pandan akan naik.

Masukkan ayam goreng. Gaul rata. 

Akhir sekali masukkan bawang besar yang dihiris seperti ring. Kacau sehingga bawang separuh layu atau masak tetapi jangan layu. Biar ia rangup sikit. 


Sesuaikan rasa ikut citarasa anda jika mahu pedas atau manis. Sekarang bolehlah angkat dan dihidangkan. Jika mahu, boleh tabur daun sup atau daun bawang untuk hiasan.

TIPS RASA MASAM MANIS:
Gunakan tomato puri dan air asam jawa.

TIPS MANIS:
Gunakan gula melaka.

TIPS PECAH MINYAK:
Minyak banyak sikit dan ketika pekat, tambah sedikit air.

TIPS WANGI:
Gunakan daun pandan dan tumis pada awal atau ketika pecah minyak. Pastikan dalam masa yang sama juga gunakan gula melaka.

TIPS SAMBAL MANIS:
Gunakan bawang merah atau bombay sahaja atau lebih banyak berbanding holland.

Sekian,
Terima kasih!

-MN-

Friday, 1 April 2022

HARI KEMANGKATAN TUANKU ABDUL RAHMAN IBNI TUANGKU MUHAMMAD

Hari ini 62 tahun yang lalu, Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad mangkat.

Diputerakan di Seri Menanti pada 24 Ogos 1895, baginda adalah cahaya mata ke-2 YDP Besar Negeri Sembilan moden yang pertama & YDP Besar Seri Menanti yang ke-7, Tuanku Muhammad ibni Tuanku Antah dengan Tunku Puan Chik. Baginda mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Jempol seterusnya di Maktab Melayu Kuala Kangsar. Tamat sekolah, baginda berkhidmat dengan Sekretariat Persekutuan di KL, pada masa sama menyertai Malayan Volunteer Regiment (MVI). Pada 1921, baginda dilantik sebagai Penolong Pegawai Daerah Seremban. Kemudian ditugaskan ke daerah Klang (1922), Hulu Selangor (1923), Sepang (1923-1925) menggalas jawatan sama sebelum khidmat singkat di Mahkamah Tinggi KL.


Pada 1925, baginda melanjutkan pengajian dalam bidang perundangan di Inner Temple, London selama 3 tahun sebelum lulus sebagai peguam bertauliah. Sekembali ke tanah air, baginda dilantik menjadi Pen. Pegawai Daerah Tapah hingga 1930. Seterusnya baginda menjadi Majistret Kelas 2 di KL, sebelum ke Mahkamah Tinggi Ipoh sebagai Pen. Pendaftar (1931-1932). Kemudian menjadi Pen. Pegawai Daerah di Kuala Langat & dinaikkan pangkat menjadi Pegawai Daerah di Batang Padang (1933). Baginda menjadi Tunku Muda Serting pada 1917 ekoran kemangkatan kekanda sulungnya, Tunku Abdul Aziz. Pada 2 Ogos 1933, baginda dilantik sebagai YDP Besar Seri Menanti selepas kemangkatan ayahandanya. Apabila Tanah Melayu memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, baginda telah dilantik menjadi YDPA yang pertama atas pilihan sebulat suara Majlis Raja-Raja. Baginda ditabal pada 2 September tahun itu. 3 tahun kemudian, tidak sempat menamatkan tempoh sepenggal 5 tahun sebagai Agong, baginda menghembuskan nafas terakhirnya dalam tidur pada 1 April 1960 di Istana Negara. Baginda disemadikan di Makam Diraja Seri Menanti. Tuanku Abdul Rahman diabadikan pada wang kertas Ringgit Malaysia & sebagai memperingatinya, tanjak/tengkolok gubahan ‘Dendam Tak Sudah’ yang dipakai baginda dijadikan pakaian rasmi YDPA. Sumber: Arkib Negara Malaysia, Warisan Raja & Permaisuri Melayu #PeristiwaHariIni #ASTROAWANI

Tuesday, 29 March 2022

PEMBUNUHAN SECARA HIPNOSIS ATAU PUKAU

Hari ini 71 yang lalu, berlaku insiden pembunuhan di mana minda pelaku berada dalam hipnosis di Copenhagen, Denmark.

Pada hari itu, lelaki berusia 28 tahun bernama Palle Hardrup merompak sebuah bank & menembak mati salah seorang juruwang serta pengurus cawangannya. Dia kemudian melarikan diri menaiki basikal ke jalan berdekatan sebelum memasuki sebuah bangunan. Beberapa orang saksi mengejarnya, yang kemudian cuba bersembunyi di ruangan tangga. Setibanya polis, Hardrup menyerah diri dengan rela & apabila ditanya mengapa dia berbuat demikian, jawab Hardrup dia disuruh oleh ‘Malaikat Pelindung’nya.

Siasatan mendapati pistol & basikal yang digunakan itu milik Bjørn Schouw Nielsen, teman sebilik Hardrup ketika di Penjara Horsens State pada Perang Dunia II. Di sana, mereka menunjukkan minat mendalam terhadap hal mistik, yoga, meditasi & hipnosis. Didapati Hardrup sebenarnya sudah 'dipukau' Nielsen sejak di dalam penjara lagi, membawa kepada rumusan pasukan penyiasat bahawa seseorang itu boleh dimanipulasi minda & emosinya secara hipnosis untuk melakukan sesuatu di luar sedar individu terbabit. Selepas perbicaraan panjang yang berakhir pada 1955, Hardrup dijatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat & tiada tarikh bebas di Institusi Herstedvester. Nielsen pula dipenjara seumur hidup & Mahkamah Tinggi Denmark enggan membuka semula kes. Bagaimanapun pada 1956, Majlis Perundangan-Perubatan Denmark mengeluarkan kenyataan bahawa ada gangguan mental yang ketara pada Hardrup. Beberapa tahun kemudian, kes itu dibuka semula oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Strasbourg. Nielsen mengaku memberi pengaruh buruk kepada Hardrup namun menafikan telah memukaunya. Akhirnya Nielsen & Hardrup masing-masing dibebaskan secara berasingan pada 1967. 7 tahun kemudian, Nielsen membunuh diri dengan meminum potasium sianida, sementara Hardrup menukar nama, menjalani kehidupan baharu, bekerja & meninggal dunia pada 2012. Sumber: Evaldsen, B.T.

Monday, 28 March 2022

TYPHOID MARY SI SUPER SREADER

Hari ini 107 tahun yang lalu, Typhoid Mary si ‘super-spreader’ penyakit kepialu dikuarantin buat kali ke-2 yang membawa sehingga akhir hayatnya.

Nama sebenarnya Mary Mallon, lahir pada 1869 di Cookstown, Ireland. Dia berhijrah ke A.S. & menjadi orang gaji beberapa keluarga elit di New York termasuk keluarga Charles Warren. Ketika satu percutian musim panas 1903, 6 ahli keluarga itu menghidap demam kepialu. Apabila Warren mengupah seorang jurutera kebersihan untuk menyiasat puncanya, didapati ia daripada orang gaji mereka, Mallon. Menjejak rekod pekerjaannya, rupanya sejak 1900 ada 7 keluarga terlibat, 22 jangkitan dengan kematian seorang budak perempuan.


Lantas Jabatan Kesihatan New York pada 1907 meletakkan Mallon dalam perintah berkurung di sebuah banglo dengan hanya ditemani seekor anjing. 3 tahun kemudian, selepas didesak, Mallon dibebaskan dengan syarat berjanji tidak bekerja sebagai tukang masak lagi. 5 tahun kemudian, Hospital Bersalin Sloane di Manhattan, NY gempar apabila 25 pekerja dijangkiti kepialu, 2 daripadanya maut. Puncanya dijejak, membawa kepada tukang masak hospital itu yang digelar “Typhoid Mary.” Rupanya dia Mallon, memakai nama “Mary Brown.” Sejak dibebaskan pada 1910, Mallon gagal dijejaki apabila dia menggunakan pelbagai nama untuk bekerja di hotel, restoran & pelbagai institusi. Selepas ditahan, dia diletakkan semula dalam kuarantin di North Border Island, NY pada 27 Mac 1915. Selama 23 tahun Mallon hidup terasing dari khalayak. Pada 1932 dia menghidap strok & sejak itu dikuarantin di hospital di pulau itu sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhirnya pada 11 November 1938 di usia 69 tahun dek pneumonia. Sepanjang hayatnya, beliau dipercayai telah menjangkiti sekurang-kurangnya 53 orang, 3 daripadanya meninggal dunia. Ia menjadikannya individu pertama di A.S. yang direkodkan sebagai pembawa tidak bergejala/asimptomatik kuman kepialu. Mallon tidak pernah menunjukkan sebarang simptom yakni demam, sakit kepala & cirit birit, cuma beberapa kali selesema ringan. Dipercayai, dia membawa penyakit itu sejak dari dalam kandungan apabila ibunya dijangkiti. Sumber: History

Wednesday, 9 March 2022

PATUNG BARBIE PERTAMA DI DUNIA

Hari ini 63 tahun yang lalu, patung Barbie yang pertama dipersembahkan kepada khalayak.

Ia bermula dengan Ruth Handler, yang mengasaskan Mattel, Inc. bersama suaminya pada 1945, melihat anak perempuannya meninggalkan patung bayinya apabila sudah meningkat usia & mula bermain dengan patung kertas wanita dewasa. Handler menyedari bahawa ada pasaran khusus untuk kanak-kanak perempuan yang berangan menjadi dewasa. Lalu diciptakan sejenis patung wanita setinggi 11 inci yang menjadi patung permainan pertama berciri dewasa yang dihasilkan secara besar-besaran di A.S. Rupa Barbie diolah daripada Bild Lilli, patung Jerman yang dicipta berdasarkan watak kartun 'strip' dalam akhbar Jerman Barat ‘Bild Zeitung’. Ia dihasilkan sebagai cenderamata untuk lelaki dewasa yang dijual di kedai tembakau. Mattel membeli hak terhadap patung itu, mengubah suai rupa & bahan pembuatannya lalu Handler menamakannya Barbie, sempena nama anaknya, Barbara. Pada 9 Mac 1959, ia dipamerkan buat julung kalinya di Pameran Alat Permainan Amerika di New York. Mattel menggunakan kedudukannya sebagai penaja rancangan TV ‘Mickey Mouse Club’ sejak 1955 untuk memasarkan Barbie, yang menjadi antara syarikat alat permainan pertama yang menyiarkan iklan untuk kanak-kanak. Pada 1961, Mattel memperkenalkan ‘teman lelaki’ Barbie, Ken, yang dinamakan Handler sempena anak lelakinya. Kemudian hadir ‘kawan baik’ Barbie, Midge pada 1963 & ‘adik’ Barbie, Skipper, muncul tahun berikutnya. Barbie turut mengundang kontroversi. Bentuk badannya yang ramping dilihat memberi contoh yang tidak realisitik, memupuk imej tubuh yang negatif serta menggalakkan sifat materialistik dalam kanak-kanak perempuan khususnya. Begitupun di sisi positif, Barbie dilihat sebagai menyediakan alternatif kepada peranan jantina tradisional di era 50-an ketika ia mula diperkenalkan dengan kepelbagaian kerjaya yang dipamerkan dalam bentuk pakaian & aksesorinya. Sejak 1959, dianggarkan lebih 1 bilion patung Barbie telah terjual di seluruh dunia. *Gambar patung Barbie edisi pertama yang dihasilkan pada 1959. Sumber: History, Britannica

Wednesday, 2 March 2022

MAYAT CHARLIE CHAPLIN DIBAWA LARI DARI KUBURNYA


Hari ini 44 tahun yang lalu, mayat Charlie Chaplin dibawa lari dari kuburnya.

Sir Charles Spencer Chaplin Jr., lahir pada 1889, merupakan pelakon komedi legenda era filem bisu & peralihan ke filem bersuara Hollywood sekitar 1910-an & 1920-an. Beliau yang masyhur dengan wataknya The Tramp, juga pembikin filem yang disegani. Melayari lebih 75 tahun karier dalam dunia perfileman, Chaplin menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Krismas 1977 di usia 88 tahun. Jasadnya bersemadi di sebuah perkuburan berhampiran rumahnya di Corsier-sur-Vevey, Switzerland. Namun pada 2 Mac 1978, kira-kira 2 bulan selepas dikebumikan, kuburnya dibongkar & jasadnya dicuri bersama keranda. Hal itu disedari oleh penduduk sekitar yang melaporkannya kepada polis, lalu siasatan & pemburuan si pelaku dilancarkan. Tidak kama kemudian, balu Chaplin, Oona mula menerima panggilan telefon yang meminta wang tebusan sebanyak USD600,000. Malah si pemanggil itu mengugut sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, nyawa 2 anak kecil Oona akan diancam. Begitupun, Oona enggan akur. Pada masa sama, polis memintas talian telefon kediaman Chaplin & mengawasi 200 pondok telefon di sekitar wilayah itu. Selepas 5 minggu, akhirnya pelakunya berjaya diberkas - 2 orang mekanik bernama Roman Wardas & Gantscho Ganev. Ia membawa kepada penemuan semula jasad Chaplin pada 17 Mei yang mereka tanam di ladang jagung kira-kira sebatu dari kediaman keluarga Chaplin. Disember itu, mereka dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan merompak kubur & cubaan memeras ugut. Wardas dari Poland & Ganev dari Bulgaria, mengaku bersalah & menyatakan bahawa tindakan itu dilakukan sebagai penyelesaian kepada kesempitan kewangan memandangkan kedua-duanya adalah pelarian politik dari Eropah Timur. Wardas yang didapati sebagai dalang dihukum 4 tahun setengah kerja berat & Ganev diberi amaran supaya tidak melakukan kesalahan sama selama 18 bulan. Jasad Chaplin dikebumikan semula di tempat asalnya & ditutup dengan konkrit. Sumber: History, Smithsonian Magazine



Saturday, 20 November 2021

Legenda paus gergasi yang menenggalamkan kapal pemburu paus pada tahun 1821

Hari ini 201 tahun yang lalu, kapal pemburu paus ‘Essex’ karam diserang seekor paus sperma. Pada 12 Ogos 1819, ‘Essex’ berlepas dari Nantucket menuju Selatan Laut Pasifik untuk memburu ikan paus sperma. Dengan 20 anak kapal pimpinan George Pollard, Jr., perjalanan mereka dijangka berakhir dalam tempoh 3 tahun. 2 bulan kemudian, ketika di perairan Rio de Janeiro, mereka memperoleh tangkapan pertama. Januari 1820, ‘Essex’ memasuki Selatan Pasifik & menangkap lagi 10 ekor paus di perairan Peru. Lewat Mei, mereka memutuskan untuk berlayar lebih jauh ke tengah. Mereka singgah dahulu di beberapa lokasi untuk menambah bekalan & membetulkan kebocoran kapal sebelum meneruskan perjalanan pada lewat Oktober 1820. Pada pagi 20 November, ikan paus ditemukan & segera dilancar 3 bot buruan.

Lakaran kapal Essex oleh Thomas Nickerson

Bot pimpinan pembantu kapten, Owen Chase kemudian rosak & terpaksa kembali ke kapal induk. Ketika bot sedang dibaiki, seekor paus lagi dikesan dekat dengan kapal, dianggarkan sepanjang 26 meter, saiz lazim seekor paus sperma jantan dewasa. Tak semena-mena, paus tersebut melulu laju ke arah ‘Essex’ lalu menghentam bahagian kirinya. Ia melintasi bawah kapal, timbul semula di permukaan & melancarkan serangan habis-habisan sehingga kapal rosak teruk sebelum beredar dari situ. Apabila ‘Essex’ akhirnya tenggelam pada 22 November, kesemua kru terpaksa menaiki 3 bot yang tinggal, diterajui oleh Pollard, Chase & penolong kapten kedua, Matthew Joy. Dengan bekalan makanan amat terhad, mereka bergerak mencari daratan. Berpuluh hari mereka di lautan dirundung kebuluran, dehidrasi, hingga seorang demi seorang mati. Untuk terus hidup, kru yang telah mati terpaksa dimakan. Tidak cukup, mereka terpaksa mencabut undi untuk menentukan siapa korban seterusnya. Akhirnya selepas lebih 3 bulan, hanya 8 orang yang ditemukan hidup & diselamatkan. Sekembalinya ke Nantucket, Chase menulis memoirnya yang kemudian menjadi inspirasi kepada Herman Melville, novelis New York untuk menulis ‘Moby-Dick’ (1851). *Gambar lakaran & catatan salah seorang anak kapal, Thomas Nickerson tentang tragedi itu. Sumber: Britannica, Wikimedia Commons





Filem diinspirasikan oleh kisah benar.

Karya Chase menginspirasi Herman Melville's - Moby Dick (1851). 


Wednesday, 17 November 2021

APA PERLU ANDA BUAT JIKA TERTUKAR URL WORDPRESS ANDA?

Hai..

Relax. Pertama sekali adalah bertenang. Masalah utama di sini adalah apabila anda menukar alamat URL wordpress anda kepada alamat yang lain kemudian website tersebut tidak dapat diakses lagi. Bila dah tak dapat akses, nak tukar semula ke alamat asal pun tak dapat. Macamana nak ubah, nak buka dashboard pun tak dapat. Huh, panik dibuatnya.

Jangan risau. Dalam artikel ini saya akan kongsikan bagaimana untuk selesaikan semula masalah tersebut.

Tutorial baiki masalah URL Wordpress yang tersalah-ubah.


Di atas adalah alamat asal URL yang mungkin anda sudah terubah atau sengaja nak ubah mungkin sebab nak buat experimen dan sebagainya.

Alamat di atas sebenarnya mestilah sama dengan alamat asal domain anda. Jika alamat URL berbeza, anda tidak akan dapat lagi akses website anda untuk perbetulkan keadaan.

Oklah, kita pergi kepada solution tersebut.

LANGKAH #1 -
Sila ke Cpanel hosting anda. lebih kurang macam ni, www.contoh.my/cpanel, login masuk ke cpanel anda.



LANGKAH #2 -
Sila ke FILE MANAGER anda. Tujuan ini adalah untuk kenalpasti nama database wordpress anda. Jika anda hanya ada satu sahaja website maka anda bolehlah skip cara ini. TAPI, jika ada lebih dari satu domain atau ada banyak sub-domain di bawah domain utama anda, jadi anda perlu cari nama database wordpress tersebut dahulu.

Sila cari public html seperti dalam gambar di bawah;

Klik logo biru tu dan anda akan dibawa ke paparan berikutnya. Sila scroll ke bawah dan cari WP-CONFIG.PHP. Sila tekan button kanan tetikus untuk Edit file ini.


Anda klik Edit dan seterusnya di bawa ke paparan selanjutnya.
Pada halaman seterusnya anda akan ketahui nama database wordpress domain anda.
DB_NAME - Database name - nama database anda yang anda mahu edit/diperbetulkan nanti. Di atas adalah nama database wordpress saya.

Ok sekarang sudah tahu nama DB yang dicari. Seterusnya kita pergi buka phpMyAdmin pula.Sila kembali ke halaman utama Cpanel. Boleh klik logo cpanel di penjuru tepi tu untuk mudah.

Klik atau buka phpMyAdmin.

Melalui cara sebelum ini saya dah tunjukkan nama database wordpress saya iaitu WRDP1. Sila klik bahagian ini untuk expand. Cari yang punyai perkataan _options di belakangnya, kemudian klik.


Sekarang(foto di bawah), anda lihat di bahagian senarai paling atas, itulah bahagian domain yang anda perlu edit atau perbetulkan kepada domain yang asal. Bagi yang sudah ubah domain asal ke domain lain anda boleh lihat URL domain lain tersebut di sini.

Jika domain asal anda http://domain-anda.com atau https://domain-anda.com maka masukkan semula ikut URL domain asal ini untuk menggantikan domain yang diubah itu.

Dua alamat di bawah perlu diubah kepada asal;
  • SiteURL
  • Home


Klik EDIT untuk ubah. Tukarkan domain kepada yang sepatutnya. Selepas itu tekan GO untuk siapkan.


Now masalah sudah selesai.

Website anda sepatutnya sudah kembali ke normal semula.

ALHAMDULILLAH!

-MN-
17/11/21

PS: Sharekan artikel ini kepada yang memerlukan. Semoga Allah merahmati anda selalu. amin!







Thursday, 12 August 2021

Tuanku Sharif Kedah


Tuanku Said Muhammad Ibni Tuanku Said Muhammad Shahbuddin (Tengku Kedah).

Lahir dan dibesarkan di Mekah, berhijrah ke Kedah dan W.P.Labuan pada tahun 1896M (1313H/1314H). Beliau adalah seorang pedagang dan pendakwah.

Sebelum menetap di W.P.Labuan, beliau pernah menetap selama dua (2) tahun di Kuching, Sarawak.

Meninggal dunia pada tahun 1943M (1361H/1362H/1363H) ketika berusia 116 tahun di Kg. Ranca-Ranca W.P.Labuan.

Tengku Kedah atau lebih dikenali dengan nama 'Tuanku' ataupun 'Sharif Kedah' adalah salah seorang yang amat dikenali terutama bagi masyarakat lama di sekitar W.P.Labuan dan kawasan berdekatannya. Beliau merupakan salah seorang penyebar agama islam yang terkenal pada suatu ketika dahulu. Tidak banyak maklumat berfakta yang diketahui tentang beliau selain daripada cerita-cerita lisan daripada orang-orang yang pernah mengenali beliau.

Makam Sharif Kedah
Sebab musabab kepada gelaran 'Tengku Kedah / Sharif Kedah' juga tidak dapat dipastikan puncanya. Berkemungkinan Kedah adalah tempat pertama beliau jejaki di rantau ini sebelum berhijrah ke W.P. Labuan menyebabkan masyarakat setempat mengelarnya Sharif dari Kedah ataupun ringkasnya 'Sharif Kedah', ataupun berkemungkinan juga ada di antara golongan orang lama di Kedah sendiri yang mengenali ataupun mengetahui akan sejarah beliau yang mungkin dapat menjelaskan akan biodata lanjut Syarif Kedah itu sendiri.

Status Tengku Kedah ini juga, samada mempunyai keluarga atau tidak selama beliau berada di kepulauan Borneo ini juga tidak dapat dipastikan, ada juga khabar angin menyatakan beliau mempunyai anak angkat, tidak tau sejauh mana kebenarannya.

Dipetik dari blog 
http://daengsaring.blogspot.com/


Jalan baru yang menyambungkan kampung Patau-patau dengan Kampung Batu Arang dinamakan sempena nama Tuanku Sharif Kedah.


P.S : Khabar mengenai anak angkat tersebut adalah benar memandangkan lokasi yang dimaksudkan di Kg. Lajau(berdekatan alamat lama admin) di dalam ruang komen. Jika admin tidak silap, orang yang dimaksudkan adalah seorang guru agama dan admin sempat mengaji al-quran bersama beliau. Saya juga sempat menziarahi ke rumah keluarga beliau semasa beliau meninggal dunia di Kg. Sungai Bedaun.

-MN-

Thursday, 15 July 2021

SURAH TOHA - Surah yang melembutkan hati Saidina Umar Al-Khattab kepada Islam

Dalam perjalanan, beliau Bertemu dengan Abdullah An-Nahham Al-‘Adawi, Seorang laki-laki dari Bani Zuhrah....(ada setengah riwayat mengatakan Saad bin Abi Waqqas)..... 


Lelaki itu berkata kepada Umar, " Mahu kemana wahai Umar ? " 

Umar menjawab, "Aku Ingin pergi membunuh Muhammad." 

Lelaki tadi berkata, " Bagaimana kamu akan selamat dari Bani Hasyim dan Bani Zuhrah, kalau kamu membunuh Muhammad ?" ..mendengar ucapannya itu, 

Maka Umar menjawab, " Tidaklah aku melihatmu lebih daripada seorang musuh yang telah meninggalkan agama nenek moyangnya." 


Lelaki tadi memberanikan diri dan menjawab, " Hai Umar Sesungguhnya saudara perempuan mu dan ipar mu telah meninggalkan agama yang nenek moyang kamu yakini... 

Seperti ditebang batang lehernya....Umar bergegas kerumah adiknya (Fatimah) untuk mendapatkan kepastian tentang berita itu...Ketika menghampiri rumah adiknya... Umar terdengar suara seseorang sedang mengajar Al-Quran,...Ketika itu Khabab bin Al-Arat....sedang mengajarkan Al-Quran kepada Fatimah (adik Umar) dan Iparnya (Said bin Zaid) ....

Umar mengetuk pintu dengan penuh kemarahan.. Mengetahui kedatangan Umar,... Khabab menjadi cemas dan lari bersembunyi. Umar masuk ke rumah adiknya dan menanyakan suara yang didengarnya sebentar tadi.... 

Kemudian adik perempuan Umar dan suaminya berkata, " kami sedang berbual-bual dan....seketika kamu datang dan mengetuk pintu..." 

Umar lantas berkata, " Apakah benar berita yang aku dengar dari jalan sebentar tadi....Apakah kamu telah meninggalkan agama nenek moyang kita..? "... 

Fatimah menjawab, " wahai Umar, apa pendapatmu Jika Kebenaran itu bukan berada pada agama nenek moyang kita ?"

Mendengar perkataan tersebut Umar terus memukul adiknya hingga luka dan berdarah, Suaminya (Said) cuba membantu dan menenangkan Umar,..tetapi dia juga turut dibelasah oleh Umar sehingga cedera kedua-duanya....

 " Hai Umar, biar apa pun yang akan terjadi, kami akan tetap berada dalam agama yang dibawa oleh Muhammad...Bunuh lah kami jika itu dapat memuaskan hati kamu.." rintih Fatimah,... sambil memeluk suaminya (Said) yang terbaring berlumuran darah.. 

Umar seperti tidak percaya terhadap tindakan yang telah dilakukan keatas Adik dan iparnya....Dia berasa begitu menyesal dan kecewa diatas tindakaannya yang melampaui batas itu. 

Ketika kemarahan Umar semakin reda.... dia kemudiannya meminta maaf kepada Fatimah dan adik Iparnya. Lalu dia terlihat segulung lembaran yang sedang di pegang oleh adiknya Fatimah....

Umar lantas bertanyakan tentang lembaran itu, " Apakah lembaran yang ditangan mu itu...? berikan kepada ku...aku ingin mengetahui apakah kandungan isinya ". 


Fatimah berkata, "Hai Umar....tubuh kamu Kotor, dan tidak boleh menyentuh lembaran ini,... kecuali bagi orang yang bersuci.... Mandilah dan sucikanlah diri mu terlebih dahulu !.." 

Umar kemudianya membersihkan dirinya dan kembali semula meminta lembaran itu dari adik perempuannya...Fatimah agak keberatan untuk memberikannya, tetapi setelah dipujuk...Fatimah memberanikan juga diri untuk memberikan lembaran tersebut yang mengandungi isi Surah Taha itu kepada Umar.

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ


1. طه 
2. مَآ أَنزَلْنَا عَلَيْكَ ٱلْقُرْءَانَ لِتَشْقَىٰٓ
3. إِلَّا تَذْكِرَةً لِّمَن يَخْشَىٰ
4. تَنزِيلًا مِّمَّنْ خَلَقَ ٱلْأَرْضَ وَٱلسَّمَٰوَٰتِ ٱلْعُلَى
5. ٱلرَّحْمَٰنُ عَلَى ٱلْعَرْشِ ٱسْتَوَىٰ

1. Taa' Haa.
2.Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan. 3. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang yang takut melanggar perintah Allah,
4. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi.
5. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, yang bersemayam di atas Arasy.(Taha : 1 - 5)

Sendi Umar menjadi lemah dan bergetar,...dia terpegun dengan isi kandungan Surah Taha...hatinya menjadi semakin sayu dan hiba...ketika itu dia dapat merasakan ada sesuatu yang sedang menyentuh jiwanya.. 

Umar meneruskan lagi bacaan sehingga sampai pada ayat 20:014

14. إِنَّنِىٓ أَنَا ٱللَّهُ لَآ إِلَٰهَ إِلَّآ أَنَا۠ فَٱعْبُدْنِى وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِذِكْرِىٓ

Sesungguhnya Akulah Allah; tiada tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku, dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku (Taha : 14)

Ketika itu air mata sudah membasahi pipi Umar...."Bawa kan aku kepada Muhammad.. Bila mendengar perkataan Umar itu, Khabab yang sedang bersembunyi ketika itu memberanikan dirinya untuk keluar dan berkata,

 " wahai Umar! engkau adalah orang yang didoakan Rasulullah ....'Ya Allah, muliakan Islam dengan Umar Al- Khatthab atau Abu Jahal (Amru) bin Hisyam. ' 

Rasulullah yang pada ketika itu berada di rumah seorang sahabat di daerah Shafa, baginda dikelilingi oleh para sahabat dan salah seorang darinya ialah Saidina Hamzah Abdul Mutalib.Umar datang dengan pedangnya dan menuju ke rumah tersebut,.... 

Menyedari kedatangan Umar,...Saidina Hamzah memandang Rasulullah dan kemudian berkata, 

 " Jika kedatangan nya bertujuan baik kami akan mengizinkannya.... Tetapi jika dia datang dengan niat jahat... akan aku bunuh dengan pedangnya sendiri...." 

Saidina Hamzah bimbangkan keselamatan Rasulullah kerana dia tahu Umar seorang yang menurut nafsu amarah dan sanggup melakukan apa sahaja....Namun baginda meminta supaya Saidina Hamzah tidak bertindak melulu.. Umar mengetuk daun pintu... dan Rasulullah sendiri yang membuka pintu dan mempersilakan Umar masuk... Sebaik sahaja Umar melangkah masuk, beliau terus mendekati Rasulullah... Lalu baginda terus memegang hujung baju Umar dan disentapnya dengan kuat sehingga Umar jatuh berlutut di hadapan Rasulullah. Sambil berhadapan dan bertentang mata dengan Umar, 

Rasulullah lantas bertanya, " Bila kamu hendak menerima Islam wahai Putera Al Khattab ..? Adakah kamu hendak menunggu sehingga ditimpa bala dan ancaman dari Allah ? Sebagaimana yang menimpa Al-Walid bin Al-Mughirah ..?... Ya Allah, inilah Umar Al-Khattab,... Ya Allah muliakan Islam dengan Umar Al-Khattab ini!" Seketika itu pula Umar bersyahadah, " Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah,..dan Kamu,..Muhammad adalah pesuruhnya ".... 

orang-orang yang berada di rumah tersebut bertakbir dengan keras sehingga ada yang menitiskan air mata kerana terlalu gembira.Umar memeluk Islam pada bulan Dzulhijah tahun ke-6 kenabian, tiga hari setelah Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib memeluk Islam.

Selepas peristiwa tersebut, Umar berjanji untuk melindungi Islam sehingga ke titisan darah terakhir.... Dia menjadi khalifah kedua Islam pada 22 Jamadilakhir tahun 13 Hijrah (633-644).

Sebuah hadith dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa 

Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata: "Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar "